Sky VR Genting Highlands – Dunia VR menakjubkan
Tidak ramai memiliki keberanian mencuba sukan ekstrem membabitkan ketinggian meskipun berpeluang menyaksikan pemandangan menakjubkan di atas muka bumi.
Ia bukan lagi mustahil buat si ‘penakut’ sukan ekstrim berkenaan kerana pengalaman seperti mana peluncur angin lalui boleh dirasai sendiri di darat menerusi permainan SkyGlider yang ditawarkan Resorts World Genting di pusat peranginan Genting Highlands.
Mencuba permainan berkonsep ‘virtual realiti’ (VR) atau realiti maya selama dua minit itu, terlebih dulu, pemain akan diberi taklimat ringkas sebelum duduk di kerusi yang lengkap dengan peralatan mengawal pergerakan ‘payung’ serta diberikan topeng mata untuk melihat visual.
Sky VR Genting Highlands Sistem Bunyi Yang Padu Dan Visual Yang Gempak
Sistem bunyi yang padu, visual pandangan mata yang sempurna serta kesan angin yang memukul tubuh ketika sedang terbang melihat dunia daripada perspektif berbeza pada ketinggian beberapa ratus meter di udara, saya rasa seperti benar-benar nyata berada di awangan.
Walaupun pemandangan hanyalah visual semata-mata, saya tidak dapat lari dari rasa gerun, ngilu dan berdebar. Takut juga ada kerana perlu mengawal pergerakan ‘payung’ turun, naik, kiri dan kanan bagi menempuh sasaran gegelung berwarna untuk mengumpul markah.
Percubaan pertama, saya hanya berpeluang bermain pada tahap permulaan tetapi bagi penggemar permainan SkyGlider ini boleh mencuba tahap berikut iaitu pertengahan dan lanjutan (ekstrim).
SkyGlider di Sky VR Genting Highlands
SkyGlider adalah salah satu bahagian di dalam SkyVR yang boleh dinikmati ketika berkunjung ke Taman Tema Tertutup Skytropolis (Skytropolis Indoor Theme Park).
SkyVR ialah satu bahagian di dalam taman tema berkenaan yang dikhaskan untuk permainan realiti maya yang paling menarik dan menyeronokkan di dunia.
Ia membawa pengunjung meneroka ke alam maya yang melangkaui imaginasi seseorang.
Permainan di Sky VR Genting Highlands
Selain permainan SkyGlider, SkyVR turut menawarkan empat lagi pengalaman menakjubkan iaitu VirtuGlobe, XD Theater, Vortex dan RoboCoaster.
Bagi yang tidak pernah merasai suasana mendamaikan dan tenang berada di dasar laut sambil menyaksikan ikan paus serta hidupan laut berenang di depan mata, boleh merasai pengalaman itu menerusi permainan VirtuGlobe.
Pengunjung seisi keluarga juga boleh mencuba XD Theatre iaitu permainan berasaskan simulator pelbagai sensor yang membawa pengalaman interaktif ke satu dunia baru seperti berada di alam lanun yang penuh dengan raksasa ganas.
Di dalam sebuah bilik, permainan itu boleh menampung seramai 32 pengunjung pada satu masa yang mana semua peserta perlu bekerjasama menangkis serangan dengan menembak penjahat.
Biarpun penjahat musnah, namun peserta perlu berlumba-lumba menembak sasaran untuk memungut markah tinggi.
Ternyata, kesemua permainan yang ditawarkan SkyVR memberi pengalaman yang menakjubkan. Tidak perlu menjadi penerjun, penyelam mahupun tentera, dengan hanya kuasa VR, bagaikan pengalaman realiti yang menghiburkan seisi keluarga.