Selain memiliki laluan berjoging yang selesa sejauh 1.3 kilometer (km), Taman KLCC atau KLCC Park juga menjadi antara tarikan ibu bapa membawa anak-anak kecil kerana adanya kolam mandi. Bermula jam 10 pagi, kolam ini dibuka kepada umum khususnya untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah saja.
Air terjun dengan ketinggian tiga meter dan lebih 10 meter panjang menjadi tarikan kanak-kanak yang girang bermandi-manda di bawahnya dengan berlatar belakangkan menara berkembang tertinggi di dunia itu.
Warga Poland, Kamila Mysiewicz, 33, berkata kunjungan pertama kali ke taman itu mengubah persepsi dirinya yang mengakui tidak semua perkara bermanfaat dilakukan memerlukan perbelanjaan.
“Ini kali pertama saya berkunjung ke Taman KLCC selepas diberitahu sahabat bahawa kawasan itu memang selesa, selamat dan menyeronokkan bagi kanak-kanak.
“Tidak sangka memang masih ada lokasi riadah terutamanya di tengah-tengah Kuala Lumpur yang memiliki kolam mandi untuk kanak-kanak disediakan tanpa bayaran.
“Memang tujuan utama saya ke sini adalah untuk membawa anak saya yang berusia dua tahun untuk mandi dan sudah menyediakan pakaiannya dari awal. Malah kemudahan tandas untuk menukar pakaian juga berada berdekatan memudahkan semua pengunjung yang membawa anak kecil,” katanya.
Kamila yang mengikuti suaminya berkerja di negara ini juga melihat persekitaran taman rekreasi itu juga tempat yang selamat meskipun menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.
“Saya melihat di mana-mana saja ada pengawal keselamatan yang menjaga pengunjung ke taman ini malah mereka yang datang ke sini juga amat disiplin dan patuh kepada peraturan yang disediakan pihak pengurusan Taman KLCC,” katanya.