Maizumah berkata, hasil air tangan keturunan keluarganya menjadikan sajian pencuci mulut itu amat popular dalam kalangan penduduk Pekan dan Kuantan.
Bagaimanapun, zaman berubah dan resipi puding raja yang ada hari ini tidak sama berbanding dulu ketika ia benar-benar menjadi sajian istana.
“Begitupun rasanya tidak sama dengan yang kami buat kerana mereka pelbagaikan bahan digunakan selain menggunakan susu pekat untuk kuahnya. Masing-masing mempunyai cita rasa berbeza tetapi tetap menggunakan nama sama,” akuinya jujur.
Begitupun, sebagai pewaris sajian istana itu, Maizumah tidak cepat melatah sebaliknya bersikap adil kepada pengusaha lain kerana bimbang ia disalah tafsir.
“Itu kelebihan pengusaha lain. Bagi saya, tidak salah memperbaharui resipi tetapi biar berpada-pada dan tidak jauh berbeza daripada rasanya yang sebenar.
“Apa yang pembeli faham, puding raja mesti ada pisang lemak manis yang digoreng, jala emas, buah prun, ceri dan badam. Kalau tiada salah satu selain kuahnya yang lemak manis itu, ia tidak lengkap sebenarnya,” katanya sambil menambah ada yang menggunakan pisang lain dan susu pekat manis yang harganya lebih murah.